Subhanallah...
Alhamdulillah..
La ilaha ilallah...
Setinggi-tinggi pujian hanya milik Allah. Atas rahmatNya, Allah telah rezekikan saya dengan ilmu. Maka ingin sekali hasrat di hati untuk saya manfaatkan ilmu di dada demi menggilap seseorang individu muslim, peneraju generasi masa hadapan.
Saya seorang muslimah biasa, berkelulusan Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan (Kimia) dari Universiti Teknologi Malaysia. Saya juga pernah berkhidmat sebagai seorang guru di sebuah sekolah agama swasta di Johor Bahru. Namun selepas kelahiran anak pertama, saya memilih untuk terus tinggal di rumah.
Tawakkal 'alallah.... Saya mengasuh dan menyusukannya sendiri, agar andai ada kebaikan darinya yang diterima di sisi Allah, anak-anak saya menjadi insan-insan hebat yang hidup demi menegakkan agama Allah.
Melihat anak-anak muda hari ini, hati saya sering merintih melihat hidup yang masih terumbang-ambing. Pelajaran mungkin hanya ingin lulus sahaja, tanpa menghayati kehebatan ilmu itu sendiri. Masa banyak dihabiskan dengan permainan dan hiburan. Sedangkan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya.
Malu dengan Allah, saya tidak berani untuk duduk dan melihat fenomena ini berterusan. Oleh itu, saya terpanggil untuk 'menyelamatkan' ummah sebelum terlambat.
Dengan izin Allah, tuan-tuan terbuka hati untuk mencari Ummu Husna. Andai saya adalah yang terbaik untuk mendidik anak tuan-tuan sekalian, maka insyaAllah, kita akan bertemu atas takdirNya juga.
Sungguh, ilmu itu sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Namun sayang sekali, kita gagal untuk memahami.
Apabila ilmu dipelajari dengan mata hati, maka di setiap penjuru ilmu, akal itu dipandu ke arah kebesaran Sang Pencipta. Dengannya seseorang menjadi pandai. Dengannya seseorang mengenal Allah. Dan dengannya, seseorang lebih cinta kepadaNya. Maka darjatnya tinggi di sisi Allah.
Ilmu menjadikan kita orang bertaqwa. Dan hanya orang-orang bertaqwa yang sentiasa mendapat pertolongan Allah dalam menyelusuri hidup yang penuh dengan ujian ini.
Harapan saya di hujung kehidupan, kita kembali kepada Allah sebagai roh orang yang soleh. Roh yang tidak sabar-sabar dijemput oleh para malaikat, diiring dengan gilang-gemilang ke syurga untuk bertemu denganNya yang Maha Agung.
InsyaAllah.
Yang Fakir,
Ummu Husna
0128998586
Taman Pulai Jaya
No comments:
Post a Comment